Tuesday, September 4, 2012

Tazkirah buat diri...


"Dan sungguh. akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi tidak dipergunakan untuk memperdengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah" (Surah Al-A'raf : 179)

Setiap anggota tubuh ini akan dipersoal di akhirat kelak. Betapa hidup yang kekal abadi itu hanyalah dua sahaja, syurga dan neraka. Teringat pesan Prof. Dr. Muhaya, tanamkan dalam diri untuk menjadi ahli syurga, selalu sebut kepada anak-anak, dan rakan-rakan. Melihat jenazah yang diuruskan pagi tadi membuat penulis terasa, bagaimanakah pengakhiran hidup ini?? Apakah amalan yang membolehkan diri ini menjejak ke syurga?? Bagaimana pula dengan dosa-dosa menggunung tinggi yang dilakukan dengan sedar atau tanpa sedar. Teringat pesanan 'Memang lah Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang, tetapi adakah kita mahu menggunakan alasan itu untuk selesa melakukan dosa malah mengulanginya??' Maka kita tertipu oleh hasutan syaitan yang sangat bijak memperdaya manusia. Semoga diri ini dan pemesan kata terhindar dari godaan syaitan dan iblis.

"Aku tidak diciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku" (Surah Az-Zariyat : 56)"

Kembalilah.. kembalilah kepada asal penciptaan manusia. Beribadah untuk kehidupan yang kekal abadi. Kadang-kala diri ini sangat leka, terlupa dengan nikmat tidak seberapa yang dikurniakan oleh Sang Pencipta. Tatkala khayalan demi khayalan yang mendodoikan tentang kebahagiaan palsu di dunia ini disentap ketika itu  barulah sedar bahawa tidak akan ada bahagia melalui kemurkaan Allah Yang Esa. Kepalsuan yang bermahrajela membuatkan ramai yang terhanyut termasuk penulis. Teringat lagi pesanan 'Mungkin apa yang kita nikmati waktu ini bukan kerana kita tapi sayangnya Allah pada orang-orang yang mendoakan kita, iaitu ibu bapa kita'. Allah betapa benar kata-kata si pemesan ini. Menghargai kedua ibu bapa selagi boleh. Janganlah melakukan sesuatu yang boleh melukakan hati mereka, berkorbanlah buat mereka. Jika tak mampu menggembirakan mereka maka jangan membuat sesuatu yang menyebabkan mereka menitis air mata.

Doa adalah senjata mukmin. Tatkala kita merasakan bahawa dunia ini sangat gelap, berdoalah kepada Sang Pencipta. "Dan Tuhannu berfirman, 'Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk nerka Jahannam dalam keadaan hina-dina" (Surah Gafir : 60). Disaat penulis sangat buntu mendapatkan sesuatu yang penulis sangat hajati, penulis hanya mampu berdoa. Bila mana Allah semakin memberi kesukaran itulah sebenarnya tanda kasih sayang Allah. Allah suka mendengar rintihan hamba-Nya. Penulis mohon doa daripada pembaca untuk mendoakan penulis bersama pemesan kata-kata hikmah. Semoga Allah melindungi kami daripada tipu daya syaitan dan berada di bawah naunganNya untuk berada di syurga..

Muhasabah diri buat penulis 'Seandainya Allah mengambil nyawaku saat ini, apakah amalan yang membolehkan aku masuk ke syurga? Atau sebenarnya apa yang dilakukan akan menyebabkan aku dihumban ke neraka. Nauzubillah.....




No comments: