Wednesday, September 5, 2012

Mencari kekuatan jiwa..

"Apabila dirimu memandang segalanya dari Tuhanmu, yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuat keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu, pasti akan  damailah hatimu kerana merasakan Allah bukan sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia, bukan Allah tak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tapi mungkin itulah yang DIA mahu kerana DIA tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih mudah untuk dekat dan akrab denganNya. "

"Janganlah berubah kerana manusia! Berubahlah kerana Allah! Sedangkan kita berbuat baik dengan ibu bapa pun bukan kerana mereka tetapi kerana Allah suruh. Pandanglah setiap sesuatu dengan pandangan mata hati. Mana yang akan membawa kita sama ada ke syurga mahupun ke neraka. Mengapa memilih jalan gelap setelah turunnya Al-Quran dan hadith. Tidakkah kita mengambil iktibar apa yang berlaku pada umat terdahulu. 'Tak perlu tunggu sesuatu berlaku sendiri pada diri kita baru kita nak sedar, ambillah pengajaran apa yang berlaku di sekeliling kita." pesanan. Yakinlah pada Yang Maha Kuasa. Yakinlah. Semakin kita sibuk mengejar dunia semakin jauh kita dengan akhirat. Tidakkah kita terlupa apa yang berlaku sebelum ini. Semuanya melibatkan proses. Untuk mentarbiyah hati juga perlukan proses. Malah untuk dilekakan oleh syaitan juga melibatkan proses. Dari sesuatu yang kecil bertambah kepada sesuatu yang besar. Duhai hati bersabarlah. Usah dirayu pada manusia kerana pemberi bahagia bukan batang tubuh manusia sebaliknya semata-mata Allah. Memang sukar, tapi bersabarlah. Bersabarlah kerana Allah, lazimkan zikrullah. Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Pemilik hati adalah Allah. Kadang-kadang kita terasa kita bahagia tapi mari bersama kita selidiki, adakah bahagia itu datang dari Allah. Jangan mudah terjerumus menjadi orang yang fasik, berbahagia apabila membuat dosa, berterusan melakukan dosa sama ada kecil mahupun besar. Takutlah pada azab Allah. Pesanan buat diri sendiri. Ya Allah semoga Kau terus mendekatkan diri ini kepadaMu. Dekatkan orang yang aku ingati kepadaMu. Selamatkan kami dari hasutan syaitan. Selamatkan kami dari kemurkaanMu, selamatkan kami dari azab Neraka. Aku takut Ya Allah, jika Kau biarkan kami maka kami termasuk dalam golongan yang menzalimi diri sendiri. Ya Allah, janganlah Kau biarkan iblis membisikkan kejahatan kepada Kami Ya Allah. Ilhamkan kami dengan kebaikkan yang mutlak atas redhaMu. Semoga segala apa yang ingin kami lakukan adalah keranaMu.

Penulis sangat takut jika syaitan berjaya menjalankan tipu dayanya. Hanya kepada Allah sahaja hambaMu berserah.


No comments: