Sunday, September 30, 2012

Pintalah Ketenangan Jiwa...

Setiap orang yang beriman pasti akan diuji. Bersyukurlah dengan setiap ujian yang boleh mendekatkan diri  dengan pencipta, tetapi seandainya ujian tersebut membuatkan diri berasa leka dari mengingatiNya maka diri ini sebenarnya sedang diuji dengan fatamorgana dunia. Lantaran itu diri perlu sentiasa  bersangka baik pada Yang Maha Esa kerana diberiNya  ujian sebagai teguran untuk manusia memandangnya. Selama ini Allah berikan kita nikmat yang tidak terhingga tetapi begitu sedikit kesyukuran yang dipanjatkan, apa yang kita lakukan sebaliknya mengkufuri nikmat tersebut. Maka Allah Yang Maha Penyayang memberikan kita sedikit ujian bertujuan agar kita kembali kepadaNya dengan sepenuh pengabdian dan pengharapan. 

Penulis menyemak kembali buku nota penulis dan di lembaran Diari Masa Depan Nisak yang ditulis hampir tiga tahun yang lalu. Hajat dihati mahu memenuhi impian yang dicatat, namun ternyata setelah dihitung daripada 24 perkara yang penulis inginkan terdapat 16 perkara yang bersifat materialistik dan hampir kesemuanya bersifat keduniaan. Allah ya rabb, terasa diri ini sangat kerdil dan lemah. Rasanya apa yang perlu dilakukan adalah menulis kembali setiap senarai ini rentetan senarai asal merupakan kesilapan dizaman remaja. (Kini masih lagi remaja)

Penulis merasakan ramai diantara kita mencatat impian dan pengharapan masing-masing kerana itulah perkara yang dianjurkan oleh motivator sama ada dalam bengkel mahupun buku-buku motivasi. Malahan perkara tersebut perlulah kita bayangkan agar iainya berada dibawah minda separa sedar kita seterusnya menjadi pemangkin untuk kita mencapai cita-cita tersebut. Sebenarnya apa yang ingin diperolehi oleh setiap manusia pastinya adalah kebahagiaan dan kita semua merasakan bahawa perkara dan impian yang kita lakarkan dalam catatan tersebut yang akan membuat kita gembira dan bahagia. Namun siapa diantara kita boleh memberi jaminan bahawa jika kita berjaya memperoleh apa yang kita inginkan maka kita akan bahagia?? (kalau ada boleh PM penulis, wee)

Dr.Yusuf Al-Qardawi menceritakan dalam bukunya bahawa beliau juga mempunyai jadual (daftar) kesenangan hidup antaranya berbentuk kesihatan, kecintaan, bakat, kekuatan, kekayaan dan kemasyuharn. Beliau menunjukkan daftar tersebut kepada ahli fikir yang telah tua. Kata ahli fikir itu : "Daftar bagus, dan letak susunan tidak mengapa. Tetapi engkau melupakan suatu pokok yang penting. Daftar akan menjadi gagal semuanya,  kalau perkara pokok itu tidak ada. Lalu diambilnya pena dan ditulisnya pada seluruh daftar itu dua kalimah: "Ketenangan Jiwa"

Sejak dari zaman dahulu persoalan tentang dimana terletaknya kebahagiaan telah menjadi tanda tanya. Banyak sarjana yang membincangkan hal ini. Dalam beberapa buah buku yang penulis amati persoalan kebahagiaan ini diulas secara berbeza khususnya jika penulis buku tersebut berbeza pegangan agama. Orang yang mencari kebahagiaan bukan pada tempatnya tidak ubah seperti manusia yang sedang kehausan dan menjadikan air laut sebagai minuman. Semakin diminum semakin tidak hilang dahaga. Sama juga seperti orang yang mencari mutiara di gurun pasir yang akhirnya pulang dengan tangan hampa. Apa yang diperolehi adalah keletihan, kekecewaan, dan kekesalan. 

Kebahagiaan bukanlah tertakluk mutlak pada kebendaan, pengetahuan, teknologi, anak, mahupun pasangan.  Bukanlah penulis menyangkal bahawa perkara ini boleh memberikan kebahagiaan kerana Rasulullah sendiri pernah bersabda 'Termasuklah kebahagiaan hidup seorang manusia ialah memperoleh pasangan yang baik, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik' ( Riwayat Imam Ahmad) 

Allah berfirman : "Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik, lelaki atau wanita, sedaang dia beriman, nescaya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." ( An-Nahl : 97) Petunjuk yang diberikan oleh Allah untuk mendapatkan kebahagiaan dunia iaitu kehidupan yang baik hanyalah melalui perbuatan baik yang disertai dengan iman. Maka sekiranya kita tidak memenuhi dua syarat yang digariskan ini sebenarnya kita adalah orang dahaga yang sedang minum air laut atau pencari mutiara di padang pasir. Aduhai begitu sedih dan malang nasib kita kera menzalimi diri sendiri. 

Dua kesimpulan yang ingin penulis nyatakan, pertama : mari kita bersama semak impian dan cita-cita yang kita catatkan lalu letakkan senarai ini yang pertama, 'BERJAYA MEMPEROLEH KETENANGAN JIWA'.   Kedua, mari kita bersama memperolehi kehidupan yang baik dengan mengikut apa yang terdapat dalam manual hidup sebenar manusia. Tingkatkan keimanan, perbanyakkan perbuatan baik, tinggalkan perbuatan tidak baik. Sesungguhnya Allah tidak akan memungkiri janjinya. 

No comments: