Tuesday, August 7, 2012

Mukadimah Dunia Kaunseling Nisak =)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Dalam keasyikkan menyambut bulan Ramadhan ini penulis ingin kongsikan sedikit pengenalan mengenai dunia kaunseling, dan ini merupakan hasil pengalaman penulis 4 tahun belajar dalam Bacelor Pendidikan Bimbingan & Kaunseling. Selain daripada keluarga dan warna biru, penulis merasakan bahawa kaunseling adalah perkara yang sangat-sangat menyeronokkan untuk diteroka. Syukur kepada Yang Maha Kuasa kerana menjodohkan penulis dengan bidang ini sekitar empat tahun yang lalu. =)

Sebelum itu, penulis ingin menyatakan beberapa salah faham yang penulis rasai sendiri sebelum mengenali dunia kaunseling yang sebenar dan pengalaman penulis sewaktu menjalani praktikal di sebuah sekolah selama 3 bulan. Antara salah faham major yang berlaku ialah kaunselor adalah penyelesai masalah dan pemberi nasihat yang terbaik. Hal ini mungkin berlaku disebabkan persepsi masyarakat umum tentang kaunseling mahupun kaunselor dan mungkin juga berlaku disebabkan oleh tindakan kaunselor yang asyik memberi nasihat kepada klien sehingga menyebabkan ada sesetengah klien yang bergantung kepada kaunselor untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pasti ada yang tertanya-tanya jika kaunselor xboleh selesaikan masalah buat apa datang kaunseling?. Penulis bukanlah seorang yang sangat arif namun apa yang penulis pelajari, peranan kaunselor ialah bertindak sebagai pemangkin kepada klien dalam menyelesaikan isu yang dihadapi bukan penyelesai masalah. Dalam erti kata yang lain seorang kaunselor sangat meyakini bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk menjadi baik dalam segenap ruang kehidupannya termasuklah potensi dan daya untuk menyelesaikan konflik/masalah yang dihadapi. Justeru kaunselor akan membantu klien untuk mencari potensi diri serta jawapan terhadap konflik yang dihadapi daripada klien melalui proses kaunseling yang betul. Menurut (Mizan Adiliah & Halimatun Halaliah, 2005) kaunseling bukanlah proses penasihatan, kerana melalui sesi kaunseling yang menjadi keutamaan ialah diri klien itu sendiri bukan masalahnya. Untuk pengetahun pembaca penulis buku Kaunseling Individu Apa dan Bagaimana iaitu Dr. Halimatun Halaliah merupakan pensyarah kaunseling yang sangat penulis kagumi kerana beliau merupakan kaunselor yang dapat mengendalikan sesi kaunseling dengan sangat baik. Bagi yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang dunia kaunseling dalam bahasa yang mudah difahami bolehlah merujuk buku ini. =) 

Kaunseling sebenarnya merupakan proses dua hala antara kaunselor dan klien bertujuan membimbing klien mencari sumber diri dan mengalami proses pembelajaran semula melalui interaksi bersama kaunselor. Kaunseling juga dijalankan untuk individu yang normal dan mampu mengurus diri tetapi mungkin tertekan atau buntu serta memerlukan perbincangan secara profesional pada sesuatu masa. Bagi yang mengalami sakit jiwa khidmat yang diperlukan ialah dari ahli psikiatri atau pakar sakit jiwa dan bukan seorang kaunselor, (ramai antara kita mudah menghukum seseorang itu mengalami sakit jiwa tetapi harus diingat terdapat penilaian secara objektif yang perlu dilakukan terhadap seseorang itu sebelum menghukumnya sebagai pesakit mental).

Cukuplah setakat ini dahulu, dilain kesempatan jika diizinkan Allah penulis ingin menyambung penulisan mengenai dunia kaunseling ini. =)



No comments: