Sunday, October 7, 2012

Gila Isim??

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.. 

Penulisan kali ini adalah berkenaan Gila Isim rentetan penulis terasa ingin berkongsi jawapan yang penulis temui sewaktu menyemak buku karya Dato Dr. Haron Din dan Dr. Amran Kasimin. Semoga teman-teman yang tertanya-tanya berkenaan perkara ini mendapat jawapan yang memuaskan. 

Petikan ini adalah salinan semata untuk tatapan pembaca. "Memang pernah berlaku adanya orang yang mengamalkan zikir-zikir tertentu, yang benar lafaznya, tidak bertentangan dengan syariat, ketika dalam proses mempelajari ilmu pertahanan diri akhirnya menjadi gila isim, menyebabkan orang berkenaan mudah marah, mengamuk, tidak dapat mengawal diri, bercakap sendiri dan kadang-kadang memaki hamuntidak menentu, rasa murung, dan sedih yang bbersangatan tanpa sebab yang jelas. Situasi ini selalunya dikaitkan dengan punca yang satu, iaitu kerana terlalu banyak mempelajari ilmu agama. Sejarah membuktikan bahawa tidak ada orang yang terlalu banyak belajar agama (ilmu Allah) menjadi gila. Tidak ada antara para sahabat, tabiin, orang yang menghafal Al-Quran, atau alim ulama yang gila kerana tidak tertanggung beban ilmu yang diterima. 

'Mempelajari ilmu agama' yang dikatakan menjadi penyebab gila isim yang terdiri daripada menyebut zikir tertentu secara berulang, pada waktu tertentu dengan jumlah begitu banyak secara mengejut tanpa asas ilmu agama untuk memperoleh ilmu kebatinan boleh menyebabkan fizikal dan mental seseorang itu menjadi lemah. Berzikir, biarpun dengan zikir yang betul, sebutan yang tidak menyalahi tajwid, tetapi dengan niat dan tujuan yang salah bukan kerana Allah adalah amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah. Ini sebenarnya bukan mempelajari ilmu agama seperti yang dikaitkan dengan gila isim tetapi sebenarnya adalah sebutan zikir yang diamalkan dengan tujuan yang salah. Hal ini menyebabkan orang yang berkenaan mudah didatangi oleh makhluk halus yang dengan mudah meresap dalam tubuh seseorang sewaktu fizikal dan mentalnya yang lemah. "

Secara rangkumannya gila isim bukanlah mempelajari agama sebaliknya mempergunakan agama (dalam konteks ini zikir tertentu) untuk tujuan yang salah. Tipudaya syaitan sememangnya sangat licik. Dengan izin Allah, syaitan memperdaya manusia dengan cara memberikan jaminan, sokongan malah memenuhi apa sahaja tuntutan  manusia diawalnya. Setelah berjaya memperdaya manusia ia akan membiarkan manusia dalam kebinasaan. Syaitan menipu manusia sehingga manusia memandang perbuatan yang salah itu adalah baik dan bermanfaat. Mujahadah untuk melawan hawa nafsu juga adalah salah satu cara untuk menghindarkan dari tipu daya syaitan. Sebenarnya manusia tidak ada kekuatan pun untuk mengalahkan tipu daya syaitan, sebab itu kita perlu meminta kepada Allah agar menghindarkan kita dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya Allah adalah Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Orang yang beriman pelindungnya ialah Allah manakala pelindung orang kafir ialah syaitan. Nah mana satu yang ingin kita jadikan pelindung?? Semoga Allah memberi petunjukNya kepada kita semua. 

No comments: