Monday, November 26, 2012

Telahan Terkabul Sendiri

Telahan Terkabul Sendiri (Self Fullfilling Prophecy) , merujuk kepada situasi dimana telahan yang benar-benar terjadi disebabkan tindakan seseorang yang memegang jangkaan/telahan tersebut. Dalam erti kata lain seseorang memenuhi telahan yang diberikan kepadanya setelah meyakini telahan/jangkaan tersebut.

Sebagai contoh para pelajar di kelas pandai menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang seperti yang dijangkakan oleh warga sekolah dan ibu bapa. Telahan, harapan, jangkaan sebenarnya adalah berkuasa sekiranya perkara tersebut diyakini oleh individu terbabit. Telahan yang baik boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada pelajar. Begitu juga dengan pelajar yang dilabel di kelas kurang cemerlang apabila dilabel bahawa mereka tidak mampu untuk mencapai kecemerlang dalam akademik seterusnya mereka akan menunjukkan tingkah laku yang sejajar terhadap jangkaan/telahan yang diberikan. Telahan ini bukan sekadar terhad kepada aspek pencapaian akademik, tetapi juga tingkah laku positif, sukan dan sebagainya. Bagaimana mereka boleh membentuk keyakinan dan kepercayaan positif seandainya guru-guru, ibu bapa, iaitu orang yang signifikan dan orang yang mereka percayai sendiri tidak percaya terhadap diri mereka?? Hilangnya harapan/ telahan/ dan kepercayaan ibu bapa dan guru-guru merupakan permulaan episod kegagalan dalam kehidupan mereka.

Bagaimana pula dengan telahan terlalu tinggi?? Seringkali berlaku kepada ibu bapa dan guru yang mementingkan pencapaian akademik meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan para pelajar tertekan bagi memenuhi jangkaan tersebut. Hal ini boleh dielakkan dengan mengamalkan komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak serta guru-guru dan pelajar. Kedua-dua pihak perlu saling memahami dan bertolak ansur dalam hal ini. Ibu bapa dan guru tidak perlu begitu menekan para pelajar ini. Persefahaman dan kasih sayang mampu membantu anak-anak serta pelajar menyerlahkan potensi mereka.

Penulis meyakini bahawa telahan/ kepercayaan dan harapan yang diberikan oleh ibu bapa dan guru terhadap pelajar merupakan doa yang tidak boleh dipandang remeh. Ada sesetengah guru yang merungut apabila berhadapan dengan pelajar yang mempunyai banyak masalah dan rekod disiplin, tidak kurang juga ibu bapa yang berputus asa dengan anak mereka. Penulis bukanlah orang yang selayaknya berkongsi tetapi jangan pernah berhenti dan berputus harap pada Allah. Buat ibu bapa dan para guru, teruskan berdoa untuk kebaikkan anak dan pelajar anda. Kepada siapa lagi kita meminta harap selain daripada Tuhan Yang Maha Kuasa. Rahmat dan kasih sayang Allah itu sangat luas. Pesanan Ustaz Pahrol ketika ditanya sampai bila kita mahu berharap dan menasihati, katanya sampai bila-bila, sampai kita meninggal dunia.



No comments: