Sunday, September 30, 2012

Pintalah Ketenangan Jiwa...

Setiap orang yang beriman pasti akan diuji. Bersyukurlah dengan setiap ujian yang boleh mendekatkan diri  dengan pencipta, tetapi seandainya ujian tersebut membuatkan diri berasa leka dari mengingatiNya maka diri ini sebenarnya sedang diuji dengan fatamorgana dunia. Lantaran itu diri perlu sentiasa  bersangka baik pada Yang Maha Esa kerana diberiNya  ujian sebagai teguran untuk manusia memandangnya. Selama ini Allah berikan kita nikmat yang tidak terhingga tetapi begitu sedikit kesyukuran yang dipanjatkan, apa yang kita lakukan sebaliknya mengkufuri nikmat tersebut. Maka Allah Yang Maha Penyayang memberikan kita sedikit ujian bertujuan agar kita kembali kepadaNya dengan sepenuh pengabdian dan pengharapan. 

Penulis menyemak kembali buku nota penulis dan di lembaran Diari Masa Depan Nisak yang ditulis hampir tiga tahun yang lalu. Hajat dihati mahu memenuhi impian yang dicatat, namun ternyata setelah dihitung daripada 24 perkara yang penulis inginkan terdapat 16 perkara yang bersifat materialistik dan hampir kesemuanya bersifat keduniaan. Allah ya rabb, terasa diri ini sangat kerdil dan lemah. Rasanya apa yang perlu dilakukan adalah menulis kembali setiap senarai ini rentetan senarai asal merupakan kesilapan dizaman remaja. (Kini masih lagi remaja)

Penulis merasakan ramai diantara kita mencatat impian dan pengharapan masing-masing kerana itulah perkara yang dianjurkan oleh motivator sama ada dalam bengkel mahupun buku-buku motivasi. Malahan perkara tersebut perlulah kita bayangkan agar iainya berada dibawah minda separa sedar kita seterusnya menjadi pemangkin untuk kita mencapai cita-cita tersebut. Sebenarnya apa yang ingin diperolehi oleh setiap manusia pastinya adalah kebahagiaan dan kita semua merasakan bahawa perkara dan impian yang kita lakarkan dalam catatan tersebut yang akan membuat kita gembira dan bahagia. Namun siapa diantara kita boleh memberi jaminan bahawa jika kita berjaya memperoleh apa yang kita inginkan maka kita akan bahagia?? (kalau ada boleh PM penulis, wee)

Dr.Yusuf Al-Qardawi menceritakan dalam bukunya bahawa beliau juga mempunyai jadual (daftar) kesenangan hidup antaranya berbentuk kesihatan, kecintaan, bakat, kekuatan, kekayaan dan kemasyuharn. Beliau menunjukkan daftar tersebut kepada ahli fikir yang telah tua. Kata ahli fikir itu : "Daftar bagus, dan letak susunan tidak mengapa. Tetapi engkau melupakan suatu pokok yang penting. Daftar akan menjadi gagal semuanya,  kalau perkara pokok itu tidak ada. Lalu diambilnya pena dan ditulisnya pada seluruh daftar itu dua kalimah: "Ketenangan Jiwa"

Sejak dari zaman dahulu persoalan tentang dimana terletaknya kebahagiaan telah menjadi tanda tanya. Banyak sarjana yang membincangkan hal ini. Dalam beberapa buah buku yang penulis amati persoalan kebahagiaan ini diulas secara berbeza khususnya jika penulis buku tersebut berbeza pegangan agama. Orang yang mencari kebahagiaan bukan pada tempatnya tidak ubah seperti manusia yang sedang kehausan dan menjadikan air laut sebagai minuman. Semakin diminum semakin tidak hilang dahaga. Sama juga seperti orang yang mencari mutiara di gurun pasir yang akhirnya pulang dengan tangan hampa. Apa yang diperolehi adalah keletihan, kekecewaan, dan kekesalan. 

Kebahagiaan bukanlah tertakluk mutlak pada kebendaan, pengetahuan, teknologi, anak, mahupun pasangan.  Bukanlah penulis menyangkal bahawa perkara ini boleh memberikan kebahagiaan kerana Rasulullah sendiri pernah bersabda 'Termasuklah kebahagiaan hidup seorang manusia ialah memperoleh pasangan yang baik, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik' ( Riwayat Imam Ahmad) 

Allah berfirman : "Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik, lelaki atau wanita, sedaang dia beriman, nescaya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." ( An-Nahl : 97) Petunjuk yang diberikan oleh Allah untuk mendapatkan kebahagiaan dunia iaitu kehidupan yang baik hanyalah melalui perbuatan baik yang disertai dengan iman. Maka sekiranya kita tidak memenuhi dua syarat yang digariskan ini sebenarnya kita adalah orang dahaga yang sedang minum air laut atau pencari mutiara di padang pasir. Aduhai begitu sedih dan malang nasib kita kera menzalimi diri sendiri. 

Dua kesimpulan yang ingin penulis nyatakan, pertama : mari kita bersama semak impian dan cita-cita yang kita catatkan lalu letakkan senarai ini yang pertama, 'BERJAYA MEMPEROLEH KETENANGAN JIWA'.   Kedua, mari kita bersama memperolehi kehidupan yang baik dengan mengikut apa yang terdapat dalam manual hidup sebenar manusia. Tingkatkan keimanan, perbanyakkan perbuatan baik, tinggalkan perbuatan tidak baik. Sesungguhnya Allah tidak akan memungkiri janjinya. 

Tuesday, September 25, 2012

Mutiara Kata Buat Diriku...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Penulis akui bahawa penulis bukanlah jenis yang sistematik sama ada melalui pengurusan idea mahupun kehidupan seharian.. Terkadang ada banyak perkara yang ingin ditulis namun tidak terluah rentetan tidak ada penyusunan idea yang sistematik. Nah ternyata antara ciri yang perlu ada dalam ciri seorang muslim adalah jadual yang teratur. Teringat beberapa mutiara kata yang boleh penulis kongsikan, dan harapannya agar penulis sendiri memahami dan menyerap kata-kata ini : 

1. Pesanan seorang guru 'tidak kisah apa pun kerja, yang penting jadilah orang yang bermanfaat kepada orang lain'.

2. 'Jangan pinta kehidupan yang mudah, pintalah hati yang tabah menghadapi setiap cabaran dalam kehidupan'. - solusi

3. Hanya orang yang bahagia boleh membahagiakan. - prof. dr. muhaya

4. Niatkan seluruh kehidupan untuk beribadah kepada Allah. 

5. Selalulah bermonolog dengan Allah nescaya hatimu akan tenang. 

6. Tatkala seluruh hidupmu seakan gelap, renung jauh ke dalam hatimu, yakinlah Allah sedia menerimamu dalam apa jua keadaan sekalipun.

7. Ujian bukan hanya kesedihan tetapi juga kegembiraan malah kehidupan juga sebenarnya ujian, dan sabar itu bermaksud apabila kita berjaya menghadapi kehidupan ini dan semakin dekat dengan Allah. 

8. Syarat pertama untuk dimakbulkan doa ialah meyakini bahawa Allah akan memakbulkan doa tersebut. - dato' hassan din

9. Kunci kebahagiaan ialah mengikut syariat Islam. 

10. Berbanggalah dengan agama Islam kerana Allah menjanjikan hanya Islam yang benar disisiNya. 

11. Mengingati kematian boleh menjadi pengubat bagi kesedihan dan juga kegembiraan, menjadikan kita menghargai serta bersyukur dengan apa yang kita miliki sekarang. 

Friday, September 14, 2012

Kisah Si Anak

Seorang anak merengek di kedai permainan meminta ayahnya untuk membelikan permainan video di kedai tersebut. Atas rasa kasihnya seorang ayah diberi juga permainan itu untuk anak lelaki tercinta. Si anak apabila menerima hadiah tersebut langsung tidak berterima kasih malahan leka dengan permainan itu. Sahutan ayah langsung tidak dihiraukan, kata-kata ayah juga tidak didengari, siang dan malam leka dengan permainan tersebut seakan permainan tersebut menjadi segala-gala buatnya kini.......

Entah mengapa dalam kehidupan ini tanpa disedari kita lebih menyayangi apa yang kita miliki berbanding daripada Pemberi nikmat. Tanpa sedar kadang-kadang situasi kita sama seperti anak malah lebih teruk daripada si anak tadi. Mana tidaknya, cuba hitung berapa kali kalimah zikrullah mahupun hamdalah meniti di bibir kita?? Jika sudah kita mengucapkan alhamdulillah, adakah kalimah segala puji bagi Allah itu sudah kita fahami maksudnya?? Adakah sudah meresap dalam dada kita lalu kita terjemahkan dalam peri laku seharian kita?? Apabila kedengaran azan adakah kita bersegera menunaikan solat atau sebaliknya menunggu sehingga saat akhir sekadar mencukupi syarat?? Jika kita mahu katakan anak tersebut sebagai anak derhaka lalu gelaran apa yang sesuai bagi seorang hamba yang asyik dengan pemberian dunia yang tidak seberapa?? 

Penulis menyeru diri sendiri dan rakan pembaca sekalian, renunglah di dalam diri, lihatlah apa yang kita miliki sekarang. Lantas, masihkah ada ruang untuk kita mengkufuri nikmat yang diberikan. Teringat kepada pesanan Ustazah Nik Farhan, jika mahu menilai diri semak pada rukun islam. Pertama, kalimah syahadah yang menjadi tunjang kehidupan. 2/3 kehidupan adalah niat. Adakah setiap sesuatu dalam hidup ini kita lakukan semata-mata kerana Allah?? Jika masih ada lagi larangan Allah yang kita lakukan maka tinggalkanlah. Kedua, solat kita. Adakah kita sudah memahami setiap maksud apabila kita mengerjakan solat?? Adakah kita menghayati solat kita. Insyaallah dengan menjaga hubungan dengan Allah melalui solat hidup kita akan terjaga. Puasa, menunaikan zakat seterusnya mengerjakan haji.

Marilah kita sama-sama berdoa agar diberi hidayah dan petunjuk dari Allah. Sayangnya Allah pada kita melebihi sayangnya ibu pada anaknya. 

Monday, September 10, 2012

Perniagaan untuk syurga...

Penulis mahu berkongsi dua potongan ayat Al-Quran yang menggariskan bagaimana caranya untuk mendapatkan syurga. Semoga apa yang dikongsikan dapat menjadi amalan kita bersama. 

" Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, Sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikianlah kemenangan yang agung. " (Surah At-Taubah : 111)

" Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), ruku', sujud, menyuruh berbuat makruh dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembiralah orang-orang yang beriman." (Surah At-Taubah : 112)

Friday, September 7, 2012

Tazkirah Jumaat

Teringat suatu kisah, 'seorang pencuri masuk ke rumah wanita kaya dengan hasrat untuk mencuri dan mendapatkan wanita tersebut, diwaktu itu pencuri tersebut teringat pada Allah dan menahan diri lalu membatalkan hasratnya. sewaktu ingin keluar dari rumah itu, wanita pemilik rumah terjaga dan terus mendapatkan pemerintah/imam untuk mengadukan hal tersebut. Wanita itu berkata, 'malam tadi rumah saya telah dimasuki pencuri, mujurlah ada lelaki ini yang menyelamatkan saya dan harta peninggalan arwah suami saya, saya tinggal seorang diri dan memerlukan pelindung'. Akhirnya dengan izin dan kuasa Allah lelaki itu dinikahkan dengan wanita tersebut. Apa yang penulis pasti pengajaran daripada cerita tersebut jika kita menahan diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah kerana takut pada azabnya maka Allah akan memberikan sesuatu yang lebih baik dengan cara yang tidak disangka-sangka oleh sesiapapun. Mungkin sahaja sekarang kita terdedah dengan sesuatu yang nampak mengasyikkan, tetapi bersabarlah kerana Allah. Yakin dengan Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, insyaallah Allah akan memberikan sesuatu yang jauh lebih baik dari jalan yang tidak disangka-sangka. 

Beralih kepada intipati menarik dalam buku Iman dan Kehidupan karya Dr. Yusuf Al-Qardawi, 'Di waktu seseorang berada dalam kemewahan, kelalaian, keseronokkan, perasaan manusia yang mengakui Ketuhanan itu menjadi kabur dan tertutup. Tetapi apabila mengalami cubaan dan kepahitan, kegelapan yang menyelebungi perasaan keimanan itu lenyap maka terbukalah mata hati untuk mengingati Tuhan, dan berdoa kepadaNya dengan sepenuh ketundukkan hati, memohonkan supaya terhindar dari bencana seperti dalam firman Allah Ta'ala :

'Dia (Allah) yang memperjalankan kamu di daratan dan di lautan, sehingga apabila kamu berada didalam kapal dan berlayar membawa mereka dengan angin yang baik dan mereka telah gembira dengannya, maka datanglah angin badai dan gelombong memukul mereka dari setiap penjuru, mereka merasa telah terkepung, ketika itu mereka berdo'a kepada Allah dengan tulus kepercayaan kepada Allah semata-mata; Kalau sekiranya Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, tentulah kami akan termasuk golongan orang-orang yang bersyukur.' (Surah Yunus : ayat 22)

Menarik sungguh apa yang diperkatakan oleh ulama tersohor ini. Keseronokkan membuat manusia leka dari jalan kebenaran, Namun janganlah tertipu seperti mana Firaun disaat dia hampir menemui ajal barulah dia mengakui kebenaran Tuhan. Amatlah rugi jika kita menangguhkan taubat, ditakuti ajal menjemput sebelum sempat bertaubat. Di saat nyawa berada di kerongkong maka Allah tidak lagi menerima taubat hambaNya. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa agar Allah melindungi kita dari segala kejahatan dan kemaksiatan. jika sekiranya kita mempunyai hutang dengan Allah sama ada solat, puasa, mahupun nazar maka segeralah tunaikan. Takut-takut penangguhan kita untuk melunaskan hutang dengan Allah menyebabkan kita berada di neraka, Nauzubillah. 

Beliau menambah lagi, 'Dengan bersaksi kepada perjalanan sejarah, Al-Quran memngingatkan bahawa iman kepada Allah dan mempercayai Rasul-rasul, itulah bahtera yang dapat menyelamatkan manusia menempuh lautan perjalanan kehidupan. Sebaliknya, kufur dan derhaka kepada Allah serta mendustakan rasul itulah yang menghantar manusia kepada kebinasaan dan kehancuran.' 

Seperti apa yang difirmankan oleh Allah : 
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami biarkan mereka beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui. Dan Aku akan memberikan tenggang waktu kepada mereka. Sungguh, rencana-Ku sangat teguh." (Al-A'raf 182-183)

Berdoalah kepada Allah seperti yang disarankan, 'Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami dengan beban yang berat sebagaiman orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkau Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir'...

Minta diampunkan dosa kita kerana hukuman Allah sangat berat dan pedih.

"Ya Allah berilah kami keampunan, kekuatan, berilah kami pertolonganMu serta ganjaran yang lebih baik dari jalan yang tidak disangka-sangka." Amin Ya Rabb....

Wednesday, September 5, 2012

Mencari kekuatan jiwa..

"Apabila dirimu memandang segalanya dari Tuhanmu, yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuat keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu, pasti akan  damailah hatimu kerana merasakan Allah bukan sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia, bukan Allah tak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tapi mungkin itulah yang DIA mahu kerana DIA tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih mudah untuk dekat dan akrab denganNya. "

"Janganlah berubah kerana manusia! Berubahlah kerana Allah! Sedangkan kita berbuat baik dengan ibu bapa pun bukan kerana mereka tetapi kerana Allah suruh. Pandanglah setiap sesuatu dengan pandangan mata hati. Mana yang akan membawa kita sama ada ke syurga mahupun ke neraka. Mengapa memilih jalan gelap setelah turunnya Al-Quran dan hadith. Tidakkah kita mengambil iktibar apa yang berlaku pada umat terdahulu. 'Tak perlu tunggu sesuatu berlaku sendiri pada diri kita baru kita nak sedar, ambillah pengajaran apa yang berlaku di sekeliling kita." pesanan. Yakinlah pada Yang Maha Kuasa. Yakinlah. Semakin kita sibuk mengejar dunia semakin jauh kita dengan akhirat. Tidakkah kita terlupa apa yang berlaku sebelum ini. Semuanya melibatkan proses. Untuk mentarbiyah hati juga perlukan proses. Malah untuk dilekakan oleh syaitan juga melibatkan proses. Dari sesuatu yang kecil bertambah kepada sesuatu yang besar. Duhai hati bersabarlah. Usah dirayu pada manusia kerana pemberi bahagia bukan batang tubuh manusia sebaliknya semata-mata Allah. Memang sukar, tapi bersabarlah. Bersabarlah kerana Allah, lazimkan zikrullah. Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Pemilik hati adalah Allah. Kadang-kadang kita terasa kita bahagia tapi mari bersama kita selidiki, adakah bahagia itu datang dari Allah. Jangan mudah terjerumus menjadi orang yang fasik, berbahagia apabila membuat dosa, berterusan melakukan dosa sama ada kecil mahupun besar. Takutlah pada azab Allah. Pesanan buat diri sendiri. Ya Allah semoga Kau terus mendekatkan diri ini kepadaMu. Dekatkan orang yang aku ingati kepadaMu. Selamatkan kami dari hasutan syaitan. Selamatkan kami dari kemurkaanMu, selamatkan kami dari azab Neraka. Aku takut Ya Allah, jika Kau biarkan kami maka kami termasuk dalam golongan yang menzalimi diri sendiri. Ya Allah, janganlah Kau biarkan iblis membisikkan kejahatan kepada Kami Ya Allah. Ilhamkan kami dengan kebaikkan yang mutlak atas redhaMu. Semoga segala apa yang ingin kami lakukan adalah keranaMu.

Penulis sangat takut jika syaitan berjaya menjalankan tipu dayanya. Hanya kepada Allah sahaja hambaMu berserah.


Menahan Emosi

Semoga apa yang penulis kongsikan ini memberi manfaat buat diri dan orang lain, menjadi pahala untuk beroleh rahmat dan kasih sayang Allah seterusnya dimakbulkan doa dan diberikan keberkatan.

"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami biarkan mereka beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui. Dan Aku akan memberikan tenggang waktu kepada mereka. Sungguh, rencana-Ku sangat teguh." (Al-A'raf 182-183)

Allah, berlinangan air mata membaca ayat ini, orang yang mengingkari perintah Allah dan melakukan laranganNya juga dikategorikan sebagai orang yang mendustakan ayat Allah. (Terhenti setakat ini)

"Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf, serta jangan pedulikan orang yang bodoh" (Al-A'raf 199)

Sebab diturunkan ayat 199 (Ashabun Nuzul) : Uyainah mengatakan bahawa suatu waktu, orang-orang musyirikin Mekah telah menyakiti hati Rasulullah S.A.W selama sepuluh tahun. Saat Rasulullah berhijrah ke Madinah, beliau hendak membalas dendam terhadap mereka dengan mengadakan acara penyerbuan ke Makkah. Maka turunlah ayat itu. (HR. Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim)

"Dan jika setan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah. (membaca a'uzu billahi minasy syaitanir rajim) Sungguh Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.  (Al-A'raf 200)

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayangi-bayangi pikiran jahat (berbuat dosa) dari setan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya). (Al-A'raf 201)

" Dan teman-teman mereka (orang kafir dan fasik) membantu setan-setan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-hentinya (menyesatkan). (Al-A'raf 202)

Sebab diturunkan ayat 200-202 (Ashabun Nuzul) : Abdirrahman bin Zaid bin Aslam mengatakan ketika turunnya ayat 199, Rasulullah bertanya, "Wahai Tuhanku, bagaimana aku dapat menahan emosi?" Atas pertanyaan itu, Allah lalu menurunkan ketiga ayat ini sebagai ketegasan cara berlindung dari syaitan dan usaha menahan emosi.


Tuesday, September 4, 2012

Tazkirah buat diri...


"Dan sungguh. akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi tidak dipergunakan untuk memperdengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah" (Surah Al-A'raf : 179)

Setiap anggota tubuh ini akan dipersoal di akhirat kelak. Betapa hidup yang kekal abadi itu hanyalah dua sahaja, syurga dan neraka. Teringat pesan Prof. Dr. Muhaya, tanamkan dalam diri untuk menjadi ahli syurga, selalu sebut kepada anak-anak, dan rakan-rakan. Melihat jenazah yang diuruskan pagi tadi membuat penulis terasa, bagaimanakah pengakhiran hidup ini?? Apakah amalan yang membolehkan diri ini menjejak ke syurga?? Bagaimana pula dengan dosa-dosa menggunung tinggi yang dilakukan dengan sedar atau tanpa sedar. Teringat pesanan 'Memang lah Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang, tetapi adakah kita mahu menggunakan alasan itu untuk selesa melakukan dosa malah mengulanginya??' Maka kita tertipu oleh hasutan syaitan yang sangat bijak memperdaya manusia. Semoga diri ini dan pemesan kata terhindar dari godaan syaitan dan iblis.

"Aku tidak diciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku" (Surah Az-Zariyat : 56)"

Kembalilah.. kembalilah kepada asal penciptaan manusia. Beribadah untuk kehidupan yang kekal abadi. Kadang-kala diri ini sangat leka, terlupa dengan nikmat tidak seberapa yang dikurniakan oleh Sang Pencipta. Tatkala khayalan demi khayalan yang mendodoikan tentang kebahagiaan palsu di dunia ini disentap ketika itu  barulah sedar bahawa tidak akan ada bahagia melalui kemurkaan Allah Yang Esa. Kepalsuan yang bermahrajela membuatkan ramai yang terhanyut termasuk penulis. Teringat lagi pesanan 'Mungkin apa yang kita nikmati waktu ini bukan kerana kita tapi sayangnya Allah pada orang-orang yang mendoakan kita, iaitu ibu bapa kita'. Allah betapa benar kata-kata si pemesan ini. Menghargai kedua ibu bapa selagi boleh. Janganlah melakukan sesuatu yang boleh melukakan hati mereka, berkorbanlah buat mereka. Jika tak mampu menggembirakan mereka maka jangan membuat sesuatu yang menyebabkan mereka menitis air mata.

Doa adalah senjata mukmin. Tatkala kita merasakan bahawa dunia ini sangat gelap, berdoalah kepada Sang Pencipta. "Dan Tuhannu berfirman, 'Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk nerka Jahannam dalam keadaan hina-dina" (Surah Gafir : 60). Disaat penulis sangat buntu mendapatkan sesuatu yang penulis sangat hajati, penulis hanya mampu berdoa. Bila mana Allah semakin memberi kesukaran itulah sebenarnya tanda kasih sayang Allah. Allah suka mendengar rintihan hamba-Nya. Penulis mohon doa daripada pembaca untuk mendoakan penulis bersama pemesan kata-kata hikmah. Semoga Allah melindungi kami daripada tipu daya syaitan dan berada di bawah naunganNya untuk berada di syurga..

Muhasabah diri buat penulis 'Seandainya Allah mengambil nyawaku saat ini, apakah amalan yang membolehkan aku masuk ke syurga? Atau sebenarnya apa yang dilakukan akan menyebabkan aku dihumban ke neraka. Nauzubillah.....