Sunday, October 28, 2012

Wahai wanita, siapakah idolamu??

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.. Beberapa hari yang lalu terbaca di akhbar tentang perancangan perkahwinan seorang artis wanita Malaysia dengan jejaka kacukan British dan Lubnan yang pada asalnya bukanlah seorang muslim. Hal ini bukanlah suatu cerita yang baru di Malaysia kerana ada sahaja beberapa artis sebelum ini berkahwin dengan muallaf. 


Penulis ingin kongsikan apa yang penulis baca mengenai kisah Ummu Sulaim. Mengapa?? Kerana penulis merasakan beliau adalah idola utama wanita yang berkahwin dengan muallaf. Malah perkahwinan dan maharnya sangat mulia. Ummu Sulaim berkahwin dengan Abu Talhah yang ketika itu seorang kafir dan jatuh hati terhadapnya yang sudah muslim. Sehingga kali ketiga dilamar oleh Abu Talhah jawapan Ummu Sulaim masih lagi sama, meminta Abu Talhah untuk beriman kepada agama tauhid. Ummu Sulaim meletakkan iman sebagai mahar perkahwinannya dengan Abu Talhah maka ini sebenarnya adalah mahar yang paling mulia. Maka diakhirnya Abu Talhah pun memeluk Islam dan berkahwin dengan Ummu Sulaim. Ada sahabat yang mengagumi Ummu Salhah ini sehingga menyatakan bahawa 'Aku tidak pernah melihat mas kahwin yang lebih mulia daripada mas kahwin Ummu Sulaim'. Usaha dan kesungguhan Ummu Sulaim ini bukan terhenti setakat itu. Ummu Sulaim berjaya mentarbiyah suaminya, sehingga lelaki ini menjadi seorang yang sangat komited terhadap perjuangan menegakkan agama Allah, menahan panahan dari terkena badan Rasulullah dengan badan belakangnya sebagai perisai sewaktu perang Uhud. Allah ya rabb. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim ini meletakkan kecintaan kepada Allah di tempat tertinggi, tidak mengharapkan mahar selain dari keislaman Abu Talhah, malah disebabkan iman beliau berjaya mentarbiyah suaminya. Adakah kita menjadikan wanita ini idola?? Melihat perkahwinan sebagai medan dakwah dan ladang pahala.

Penulis mengharapkan Ummu Sulaim ini menjadi contoh buat kita, para wanita dalam mengharungi kehidupan ini. Menjadikan CINTA ALLAH sebagai cinta yang utama, dan menyebarkan iman kepada insan lain. Andai diperkenankan berkahwin dengan muallaf  maka lakukan ia dengan sebaiknya kerana ianya adalah tanggungjawab yang besar. Pra syarat utama adalah meletakkan iman di tempat tertinggi. Yakin dan percayalah 'Tiada yang mustahil dengan rahmat dan kasih sayangNya'. 

Pesanan penulis, sekiranya kaum adam di luar sana bercita-cita untuk menjadikan poligami sebagai proses islamisasi letakkan Cinta Allah ditempat yang utama. Takut-takut tidak tertanggung amanah, kelak berlaku zalim, syurga bukan pengakhirannya. Nauzubillah.



No comments: