Monday, April 8, 2013

Emosi (Soal Cinta Murahan)

Bicara Soal Cinta Murahan...

Ya, penulis begitu emosi sewaktu itu... apabila menggalas tanggungjawab dan amanah untuk memberi ceramah tentang pengurusan cinta remaja dan setelah menilai kefahaman melalui pembentangan dan lakonan situasi oleh para pelajar, penulis beristighfar panjang... Penulis sendiri tidak sangka sampai ke tahap itu sekali.. Suara dan nada yang tinggi menggambarkan kesungguhan sewaktu menyampaikan tajuk tersebut..

Aku sendiri kurang pasti, namun sewaktu itu apa yang berada dalam ruang benak fikiran dan sanubari ialah tidak sanggup rasanya para pelajar itu mengalami nasib yang serupa.. Keperitan itu berlegar-legar di dalam diri.. Lantas aku bangun, setiap butir patahku hanya mengharapkan agar Allah membukakan pintu hati mereka, meninggalkan sesuatu di dalam ruang hati mereka.. Ya Allah, peliharalah mereka dan berilah kesedaran supaya mereka kembali ke pangkuan-Mu..

Kalian tidak mengetahui, dan aku sedikit pun tidak berbangga dengan masa laluku.. Tidak mahu kalian mengalami pengalaman yang serupa, dikhianati, ditipu, disakiti, dikecewakan, dihina, dimalukan, dicampak, dibuang, diludah.. Jangan... Jangan kalian ulangi kesilapanku... Tak tertanggung oleh kita.. Katanya wanita itu lemah.. Dan waktu itu memang aku merasakannya..

Namun, seandainya kalian sudah terjebak ingatlah Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.. Andai kalian benar-benar mengharap pasti sedikitpun tidak akan dihampakan.. Mengapa?? Kerana Dia Maha Pemurah dan Maha Penyayang, sudah diingatkan dengan pelbagai ayat, antaranya Surah Al-Mukiminun : 60, " Dan berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan.." . Seteruk apa pun diri kita ingatlah hanya Allah yang sudi menerima kita dalam apa jua keadaan.. Tidak pernah prejudis.. Sedikitpun.. Dan lantas aku bangkit dengan izin Yang Maha Kuasa.. Menumbuhkan harapan dan impian baru.. Pasti akan dimakbulkan, insyaAllah.. mengharap cinta kurniaan Yang Esa...

Begitulah... wahai wanita, jagalah dirimu.. jagalah.. jagalah... sucikan hati dan fikiranmu.. Jika kalian tanya mengapa terlalu beremosi, inilah jawapanku... smg hidup kita diberkati...

Thursday, March 21, 2013

FALSAFAH HIDUP



            Mengangkat nama Khairunisak yang bererti sebaik-baik wanita saya ingin menjadi manusia yang baik. Mengikut kata hukama manusia yang paling baik ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain. Saya memfokuskan pemberian manfaat ini kepada aspek pemberian ilmu berdasarkan minat saya. Justeru saya bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah kerana ingin berkongsi ilmu kepada bakal pendidik agar menjadi pendidik yang bukan semata-mata berorientasikan peperiksaan sebaliknya memfokuskan kepada penguasaan dan pengamalan ilmu. Buat masa ini saya bertugas sebagai kaunselor sekolah yang juga membolehkan saya mengaplikasikan falsafah hidup saya untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.
Dalam hal ini saya perlu memastikan bahawa saya sentiasa perlu belajar dan menuntut ilmu sehingga ke tahap tertinggi. Bagi saya adalah penting untuk menjadi yang terbaik bagi membuktikan bahawa Islam adalah agama yang terbaik di mata orang lain. Inilah makna dan konteks jihad dan dakwah yang saya faham dan ingin saya terjemahkan dalam kehidupan saya. Ilmuan terdahulu telah membuktikan, mereka mengangkat ilmu dan menjadi terkenal kerana ilmu bukan kerana ingin berbangga diri sebaliknya menunjukkan bahawa manusia boleh cemerlang dan hebat dengan mengikut formula yang telah digariskan dalam Al-Quran. Saya juga ingin menjadi seperti mereka, menyumbang sesuatu untuk Islam.
            Saya juga ingin menjadi kaya seperti Abdul Rahman bin Auf dan pemurah seperti Abu Bakar As-Siddiq. Kekayaan adalah penting untuk saya memenuhi keperluan hidup dan keluarga. Malah dengan kekayaan saya mampu untuk membantu orang lain yang memerlukan. Saya lebih sukakan aset kekal seperti rumah dan tanah selain wang tunai. Saya mengimpikan rumah yang di dalamnya terdapat sebuah bilik yang berwarna biru dan kesemua barangnya bewarna biru. Saya ingin melancong ke luar negara, merasai sendiri kedingian musim sejuk dengan salji. Saya ingin melalui pengalaman berharga di tempat orang lain. Saya ingin memiliki kenderaan yang selesa dan memenuhi citarasa saya. Selain itu saya ingin mempunyai kedai buku yang besar kerana saya minat membaca dan ingin menjalankan perniagaan dengan berorientasikan buku. Melalui kedai buku ini saya boleh menjadi agen penyampai ilmu kepada masyarakat secara umumnya. Selain itu saya dapat membantu umat Islam yang ingin mencari rezeki sebagai pekerja di kedai buku milik saya. Walaupun tidak banyak tapi saya sangat berharap agar ianya menjadi kenyataan.
            Dalam kehidupan berkeluarga saya mengimpikan untuk menjadi ibu mithali kepada anak-anak yang akan memanggil saya dengan gelaran ummi. Mendidik anak-anak dengan menggunakan pendekatan yang diajarkan Islam adalah yang terbaik dari segenap aspek kehidupan. Saya ingin menjadi seperti Saidatina Khadijah yang menjadi isteri yang baik buat baginda, Muhammad SAW.  Bukanlah saya menentang poligami namun sebagai seorang wanita saya merasakan poligami adalah perkara perit yang perlu ditelan, justeru saya ingin menjadi satu-satunya isteri buat bakal suami sehinggalah saya meninggal dunia. Saya berdoa agar dikurniakan suami soleh dan anak-anak yang soleh-solehah. Dalam konteks ini falsafah yang saya pegang ialah menjadi penyejuk mata hati buat suami dan anak-anak. Keluarga adalah antara entiti terpenting dalam kehidupan. Saya dapat merasakan betapa bahagianya saya apabila mempunyai keluarga yang penyayang dan membolehkan saya bersandar terhadap mereka. Justeru saya ingin memberikan pengalaman yang sama buat bakal anak-anak saya agar mereka merasakan betapa bahagianya memiliki saya dan suami sebagai ibu bapa mereka.

KHAIRUNISAK BINTI HJ BAKRI
MP122009
FAKULTI PENDIDIKAN


Thursday, December 13, 2012

Pesan Dari Adik

Semalam 121212 sekitar jam 8.30pg penulis menghantar adik untuk belajar motor di sekolah memandu. Atas permintaan cikgu memandu kesayangan adik kami menunggu di McDonald berhadapan dengan Carrefour (tempat shoping kegemaran kami.. wee).. Sambil menunggu diatas motor kami berborak berkenaan kereta idaman, adik meminta penulis memberi kereta Hilux dengan beberapa alasan antaranya memudahkan beliau untuk pindah rumah dan memudahkan untuk membawa durian supaya di dalam kereta tidak berbau, dan sekiranya menghadapi masalah parking adik meminta penulis parking di tempat yang tiada kereta parking macam2 saje.. Hehe penulis tetap dengan kereta idaman penulis Myvi turqoise hehe mudah membawa kereta kecil.. 

Namun ada perkara lain yang terkesan di hati penulis. Penulis menyatakan kebimbangan kepada adik untuk menyambung pengajian buat masa ini rentetan cemburu dengan orang lain yang telah bekerja, mempunyai wang sendiri untuk membeli barang malah mampu untuk memiliki kereta sendiri tambahan penulis memang tidak mempunyai sebarang simpanan untuk digunakan bagi membayar yuran pun. Seakan terngiang di telinga, 'sementara ada peluang nie belajar la, jangan lepaskan peluang, insyaAllah nanti ade rezeki uja sponsor ko RM10 sebulan, syaratnya ko mesti sambung belajar la, ko nak masa depan cerah kan?? uja nie nak berjaya macam ko, nak sambung belajar, pasal duit ko jgn risau sgt la...' begitulah antara bait pesanan adik yang terpahat di hati... dalam nada kelucuan itu terselit rase terharu... 

Kedua-dua adik perempuan penulis lebih matang khususnya dari aspek EQ.. Kestabilan emosi mereka bermanfaat pada orang lain, jauh berbeza dengan penulis seusia mereka.. Antara perkara menarik berkenaan keduanya juga mereka membaca buku Indahnya Hidup Tanpa Derita yang memaparkan 40 kisah sebenar rumah tangga. Sedangkan penulis sebelum ini skeptikal terhadap isu rumah tangga khususnya sewaktu pertengahan remaja. Terfikir di hati, jika mereka membaca buku ini mengapa tidak aku??. Menyahut prinsip ilmu tanpa sepadan penulis merasa kagum terhadap adik-adik penulis ini. Tambahan keduanya mempunyai sifat rajin yang tinggi dan kreativiti yang tinggi. Penulis yakin keduanya mempunyai potensi besar yang boleh diketengahkan. Bangga menjadi kakak kepada kalian..

anis n uja... =)

Thursday, December 6, 2012

Wanita... 1

aku ingin terbang... aku rindukan kedamaian bayu laut... =)
Wanita...

Keruntuhan empayar yang musnah disebabkan pujukan wanita :
1. Napoleon Bonarparte & Josephine
2. Anthony & Cleopatra
3. Hitler & Matahari
4. Samson & Delila
5. Abu Lahab & Ummu Jamil

Wanita yang menjadi kekuatan kepada kepimpinan lelaki sehingga berjaya mengatasi segala ujian dan cabaran tanpa melemahkan semangat juang mereka dalam menegakkan agama :
1. Nabi Muhammad & Khadijah serta isteri baginda yang lain.
2. Nabi Ayub & Siti Rahmah
3. Nabi Ibrahim beserta kedua isterinya, Siti Sarah & Siti Hajar

Terkenang suatu ketika dulu di maktab, mendapat mandat sebagai Biro Hal Ehwal Puteri.. Namun tiada apa sumbangan yang mampu dikenang untuk puteri.. wanita... nisa'... dimanakah aku berada?? menjadi kekuatan atau meruntuhkan??? bagaimanakah pengakhiran hidupku??

Buat teman-teman sekalian jika anda wanita berusahalan mencontohi pejuang agama... Rabiatul Adawiyah... Masyitah.. dll...

Andai tak mampu membantu ke syurga, usah menjadi penyebab insan lain ke neraka...

Thursday, November 29, 2012

Kembara Diri... 1..

Aku seorang pengembara,
Mentari senja itu indah,
Menggamit rasa membuai sanubari,
Seakan terungkap peti memori,
Yang mungkin takkan berulang kembali..

Setiap detik yang berlalu,
Hembusan nafas ini milik Yang Satu, 
Mengingatkan aku tentang KekuasaanNya,
Menciptakan sesuatu tanpa sia-sia,
Buat insan yang mahu mencari hikmah,
Bukan hanya menyerah dan pasrah...

Aku mencemburuinya,
Lakarannya kelihatan suci dan bersih,
Sedangkan aku??
Berkubu rahsia dengan Yang Esa,
Yang tinggal hanya doa dan pengharapan,
Agar kelak aku berada di Jannah,
Tanpa perlu dihisab...

Kuimpikan kesenangan yang abadi,
Kudambakan kebahagiaan yang hakiki,
Bukan setakat fatamorgana duniawi,
Kutagih bukti dari diri ini,
Yang takutkan azab Jahannam,
Yang merindui Jannah Firdausi.



Monday, November 26, 2012

Telahan Terkabul Sendiri

Telahan Terkabul Sendiri (Self Fullfilling Prophecy) , merujuk kepada situasi dimana telahan yang benar-benar terjadi disebabkan tindakan seseorang yang memegang jangkaan/telahan tersebut. Dalam erti kata lain seseorang memenuhi telahan yang diberikan kepadanya setelah meyakini telahan/jangkaan tersebut.

Sebagai contoh para pelajar di kelas pandai menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang seperti yang dijangkakan oleh warga sekolah dan ibu bapa. Telahan, harapan, jangkaan sebenarnya adalah berkuasa sekiranya perkara tersebut diyakini oleh individu terbabit. Telahan yang baik boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada pelajar. Begitu juga dengan pelajar yang dilabel di kelas kurang cemerlang apabila dilabel bahawa mereka tidak mampu untuk mencapai kecemerlang dalam akademik seterusnya mereka akan menunjukkan tingkah laku yang sejajar terhadap jangkaan/telahan yang diberikan. Telahan ini bukan sekadar terhad kepada aspek pencapaian akademik, tetapi juga tingkah laku positif, sukan dan sebagainya. Bagaimana mereka boleh membentuk keyakinan dan kepercayaan positif seandainya guru-guru, ibu bapa, iaitu orang yang signifikan dan orang yang mereka percayai sendiri tidak percaya terhadap diri mereka?? Hilangnya harapan/ telahan/ dan kepercayaan ibu bapa dan guru-guru merupakan permulaan episod kegagalan dalam kehidupan mereka.

Bagaimana pula dengan telahan terlalu tinggi?? Seringkali berlaku kepada ibu bapa dan guru yang mementingkan pencapaian akademik meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan para pelajar tertekan bagi memenuhi jangkaan tersebut. Hal ini boleh dielakkan dengan mengamalkan komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak serta guru-guru dan pelajar. Kedua-dua pihak perlu saling memahami dan bertolak ansur dalam hal ini. Ibu bapa dan guru tidak perlu begitu menekan para pelajar ini. Persefahaman dan kasih sayang mampu membantu anak-anak serta pelajar menyerlahkan potensi mereka.

Penulis meyakini bahawa telahan/ kepercayaan dan harapan yang diberikan oleh ibu bapa dan guru terhadap pelajar merupakan doa yang tidak boleh dipandang remeh. Ada sesetengah guru yang merungut apabila berhadapan dengan pelajar yang mempunyai banyak masalah dan rekod disiplin, tidak kurang juga ibu bapa yang berputus asa dengan anak mereka. Penulis bukanlah orang yang selayaknya berkongsi tetapi jangan pernah berhenti dan berputus harap pada Allah. Buat ibu bapa dan para guru, teruskan berdoa untuk kebaikkan anak dan pelajar anda. Kepada siapa lagi kita meminta harap selain daripada Tuhan Yang Maha Kuasa. Rahmat dan kasih sayang Allah itu sangat luas. Pesanan Ustaz Pahrol ketika ditanya sampai bila kita mahu berharap dan menasihati, katanya sampai bila-bila, sampai kita meninggal dunia.



Sunday, November 25, 2012

Mulai dengan Niat

Soalan : Apakah niat yang patut ditetapkan jika hendak melangsungkan pernikahan agar dikira sebagai ibadad yang berpahala??

Jawapan oleh Ustaz Umar Muhammad Noor :

Niat terbaik yang mesti terpancang dalam hati adalah ikhlas mengharap reda Allah dan melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w.

"Jika suatu perkahwinan diniatkan sebagai amalan taat seperti meneladani Rasulullah, mendapatkan anak yang soleh, menjaga kesucian diri, juga untuk memelihara kemaluan, mata dan hati atau yang seumpama dengannya, maka perkahwinan ini dikira sebagai amalan akhirat dan diberi pahala padanya" - Kitab Fatawa, Imam Nawani-

"Jika tidak diniatkan sedemikan, maka perkahwinan itu hukumnya harus belaka dan dikira sebagai amalan duniawi dan memperturutkan hawa nafsu. Tidak ada pahala atau dosa padanya."