Tuesday, August 7, 2012

Mukadimah Dunia Kaunseling Nisak =)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Dalam keasyikkan menyambut bulan Ramadhan ini penulis ingin kongsikan sedikit pengenalan mengenai dunia kaunseling, dan ini merupakan hasil pengalaman penulis 4 tahun belajar dalam Bacelor Pendidikan Bimbingan & Kaunseling. Selain daripada keluarga dan warna biru, penulis merasakan bahawa kaunseling adalah perkara yang sangat-sangat menyeronokkan untuk diteroka. Syukur kepada Yang Maha Kuasa kerana menjodohkan penulis dengan bidang ini sekitar empat tahun yang lalu. =)

Sebelum itu, penulis ingin menyatakan beberapa salah faham yang penulis rasai sendiri sebelum mengenali dunia kaunseling yang sebenar dan pengalaman penulis sewaktu menjalani praktikal di sebuah sekolah selama 3 bulan. Antara salah faham major yang berlaku ialah kaunselor adalah penyelesai masalah dan pemberi nasihat yang terbaik. Hal ini mungkin berlaku disebabkan persepsi masyarakat umum tentang kaunseling mahupun kaunselor dan mungkin juga berlaku disebabkan oleh tindakan kaunselor yang asyik memberi nasihat kepada klien sehingga menyebabkan ada sesetengah klien yang bergantung kepada kaunselor untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pasti ada yang tertanya-tanya jika kaunselor xboleh selesaikan masalah buat apa datang kaunseling?. Penulis bukanlah seorang yang sangat arif namun apa yang penulis pelajari, peranan kaunselor ialah bertindak sebagai pemangkin kepada klien dalam menyelesaikan isu yang dihadapi bukan penyelesai masalah. Dalam erti kata yang lain seorang kaunselor sangat meyakini bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk menjadi baik dalam segenap ruang kehidupannya termasuklah potensi dan daya untuk menyelesaikan konflik/masalah yang dihadapi. Justeru kaunselor akan membantu klien untuk mencari potensi diri serta jawapan terhadap konflik yang dihadapi daripada klien melalui proses kaunseling yang betul. Menurut (Mizan Adiliah & Halimatun Halaliah, 2005) kaunseling bukanlah proses penasihatan, kerana melalui sesi kaunseling yang menjadi keutamaan ialah diri klien itu sendiri bukan masalahnya. Untuk pengetahun pembaca penulis buku Kaunseling Individu Apa dan Bagaimana iaitu Dr. Halimatun Halaliah merupakan pensyarah kaunseling yang sangat penulis kagumi kerana beliau merupakan kaunselor yang dapat mengendalikan sesi kaunseling dengan sangat baik. Bagi yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang dunia kaunseling dalam bahasa yang mudah difahami bolehlah merujuk buku ini. =) 

Kaunseling sebenarnya merupakan proses dua hala antara kaunselor dan klien bertujuan membimbing klien mencari sumber diri dan mengalami proses pembelajaran semula melalui interaksi bersama kaunselor. Kaunseling juga dijalankan untuk individu yang normal dan mampu mengurus diri tetapi mungkin tertekan atau buntu serta memerlukan perbincangan secara profesional pada sesuatu masa. Bagi yang mengalami sakit jiwa khidmat yang diperlukan ialah dari ahli psikiatri atau pakar sakit jiwa dan bukan seorang kaunselor, (ramai antara kita mudah menghukum seseorang itu mengalami sakit jiwa tetapi harus diingat terdapat penilaian secara objektif yang perlu dilakukan terhadap seseorang itu sebelum menghukumnya sebagai pesakit mental).

Cukuplah setakat ini dahulu, dilain kesempatan jika diizinkan Allah penulis ingin menyambung penulisan mengenai dunia kaunseling ini. =)



Monday, August 6, 2012

Hiburan Mendidik Jiwa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, melihat kepada post terakhir penulis yang bertarikh 4 Januari seakan menjadi bukti bahawa penulis belum dapat memenuhi tuntutan ciri fardhu muslim Menjaga Waktu (Haarison' ala Waqtihi), Teratur Dalam Urusan (Munazoman Fi Shu-Unih), dan Mampu Melakukan Gerak Kerja (Qadiran Ala Kasbi). Aduhai, semoga Ramadhan ini benar-benar dimanfaatkan sebaiknya. Muhasabah buat diri penulis sendiri.


Sebenarnya sejak dari semalam penulis begitu teruja untuk berkongsi tentang rasa syukur penulis wujudnya radio Ikim.Fm yang menjadi teman halwa telinga buat penulis dan keluarga. Terngiang di telinga penulis kata-kata abah tercinta sewaktu berada di dalam kereta menuju ke pasar, 'nasib baik ada IKIM nie, ada la juga hiburan yang mendidik jiwa'. Sebenarnya Hiburan Mendidik Jiwa adalah tagline bagi Ikim FM sendiri. Kali pertama penulis mendengar radio ikim ini adalah semasa berada di Tingkatan 3 hampir 8 tahun yang lalu. Semasa kecil penulis selalu mendengar Radio Malaysia Johor, itu pun adalah kerana ibu penulis mengambil upah menjahit baju dan sering bertemankan radio sewaktu menjahit.


Nak dunia perlu ada ilmu, nak akhirat pn perlu ada ilmu. Bagi individu yang dominan terhadap gaya belajar Auditori pastinya mendengar radio adalah platform yang terbaik bagi menuntut ilmu, maka siaran yang dipilih juga perlulah disaring agar ianya dapat memberikan impak maksima bagi yang benar-benar dahagakan ilmu. Penulis menyarakan agar pembaca cuba untuk mendengar ikim untuk pertama kali. Penulis akui terdapat juga segmen dalam Ikim FM ini yang tidak digemari namun penulis merasakan dengar mendengar IKIM semasa membuat kerja banyak manfaat yang diperolehi. Mendengar radio IKIM bukanlah bermaksud penulis peminat tegar lagu-lagu nasyid kerana penulis sebenarnya adalah penggemar lagu 90'an mungkin kerana penulis mendengar lagu-lagu ini sewaktu kecil dan ianya melekat (berkaitan dengan teori kaunseling : Teori Adler).


Penulis ingin kongsikan dengan pembaca beberapa rancangan yang menjadi kegemaran penulis. Selalunya selepas subuh mak penulis sudah membuka ikim bagi mendengar Ustaz Zahazan bercerita tentang tafsir Quran. Jam 7.00 akan beralih kepada rancangan TV9, Tanyalah Ustaz diikuti Ustaz Zamri bercerita dan Pesan Atok. Sempena bulan Ramadhan ini ada rancangan Qari Junior kat TV3 jam 9.00 hingga 9.30 pg. Tatkala ini sedang berlangsung slot Warna Pagi kat IKIM FM. Hoho setelah itu seharian radio ini dibuka sehingga la jam 5 atau 6 ptg. Aduhai penulis tak dapat nak menceritakan banyak lagi berkenaan siaran-siaran dalam ikim ini sebab macam terlalu banyak yang best antaranya Ustaz Mohamad Amin, Prof Dr. Muhaya, Ustaz Pahrol Juoi dan Ustaz Zaharuddin. Penulis sertakan pautan kepada website ikim  http://www.ikimfm.my/ikimfm/ untuk pembaca yang nak tahu lebih lanjut (kemungkinan pembaca lebih arif dari penulis hehe)


Di akhirnya penulis nak menyatakan bahawa walaupun penulis tidak berkesempatan ke kuliah agama di masjid mahupun seminar-seminar tetapi penulis merasakan hari-hari penulis terisi dengan adanya IKIM FM. Penulis dan keluarga mengucapkan sekalung tahniah pada warga kerja IKIM atas usaha murni ini. Dikesempatan ini penulis ingin memohon supaya pembaca mendoakan kesihatan mak dan adik penulis yang kurang sihat setelah beberapa hari. Semoga Allah menyembuhkan mak dan adik penulis. Aminn...