Mengangkat
nama Khairunisak yang bererti sebaik-baik wanita saya ingin menjadi manusia
yang baik. Mengikut kata hukama manusia yang paling baik ialah manusia yang
banyak memberi manfaat kepada orang lain.
Saya memfokuskan pemberian manfaat ini kepada aspek pemberian ilmu berdasarkan
minat saya. Justeru saya bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah kerana
ingin berkongsi ilmu kepada bakal pendidik agar menjadi pendidik yang bukan
semata-mata berorientasikan peperiksaan sebaliknya memfokuskan kepada
penguasaan dan pengamalan ilmu. Buat masa ini saya bertugas sebagai kaunselor
sekolah yang juga membolehkan saya mengaplikasikan falsafah hidup saya untuk
menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.
Dalam hal ini saya perlu
memastikan bahawa saya sentiasa perlu belajar dan menuntut ilmu sehingga ke
tahap tertinggi. Bagi saya adalah penting
untuk menjadi yang terbaik bagi membuktikan bahawa Islam adalah agama yang
terbaik di mata orang lain. Inilah makna dan konteks jihad dan dakwah yang
saya faham dan ingin saya terjemahkan dalam kehidupan saya. Ilmuan terdahulu
telah membuktikan, mereka mengangkat ilmu dan menjadi terkenal kerana ilmu
bukan kerana ingin berbangga diri sebaliknya menunjukkan bahawa manusia boleh
cemerlang dan hebat dengan mengikut formula yang telah digariskan dalam
Al-Quran. Saya juga ingin menjadi seperti mereka, menyumbang sesuatu untuk
Islam.
Saya
juga ingin menjadi kaya seperti Abdul Rahman bin Auf dan pemurah seperti Abu
Bakar As-Siddiq. Kekayaan adalah penting
untuk saya memenuhi keperluan hidup dan keluarga. Malah dengan kekayaan saya
mampu untuk membantu orang lain yang memerlukan. Saya lebih sukakan aset kekal
seperti rumah dan tanah selain wang tunai. Saya mengimpikan rumah yang di
dalamnya terdapat sebuah bilik yang berwarna biru dan kesemua barangnya bewarna
biru. Saya ingin melancong ke luar negara, merasai sendiri kedingian musim
sejuk dengan salji. Saya ingin melalui pengalaman berharga di tempat orang
lain. Saya ingin memiliki kenderaan yang selesa dan memenuhi citarasa saya.
Selain itu saya ingin mempunyai kedai buku yang besar kerana saya minat membaca
dan ingin menjalankan perniagaan dengan berorientasikan buku. Melalui kedai
buku ini saya boleh menjadi agen
penyampai ilmu kepada masyarakat secara umumnya. Selain itu saya dapat
membantu umat Islam yang ingin mencari rezeki sebagai pekerja di kedai buku
milik saya. Walaupun tidak banyak tapi saya sangat berharap agar ianya menjadi
kenyataan.
Dalam
kehidupan berkeluarga saya mengimpikan untuk menjadi ibu mithali kepada
anak-anak yang akan memanggil saya dengan gelaran ummi. Mendidik anak-anak
dengan menggunakan pendekatan yang diajarkan Islam adalah yang terbaik dari
segenap aspek kehidupan. Saya ingin menjadi seperti Saidatina Khadijah yang
menjadi isteri yang baik buat baginda, Muhammad SAW. Bukanlah saya menentang poligami namun
sebagai seorang wanita saya merasakan poligami adalah perkara perit yang perlu
ditelan, justeru saya ingin menjadi satu-satunya isteri buat bakal suami
sehinggalah saya meninggal dunia. Saya berdoa agar dikurniakan suami soleh dan
anak-anak yang soleh-solehah. Dalam konteks ini falsafah yang saya pegang ialah
menjadi penyejuk mata hati buat suami
dan anak-anak. Keluarga adalah antara entiti terpenting dalam kehidupan.
Saya dapat merasakan betapa bahagianya saya apabila mempunyai keluarga yang
penyayang dan membolehkan saya bersandar terhadap mereka. Justeru saya ingin
memberikan pengalaman yang sama buat bakal anak-anak saya agar mereka merasakan
betapa bahagianya memiliki saya dan suami sebagai ibu bapa mereka.
KHAIRUNISAK BINTI HJ BAKRI
MP122009
FAKULTI PENDIDIKAN